PENGENALAN
BANGUNAN
Pada awal tahun 1980an, Jabatan Telekom Malaysia (JTM) berhadapan dengan keperluan yang mendesak untuk mencari ruang bagi menempatkan peralatan telekomunikasi dan pejabatnya di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Maka pada tahun 1984 bangunan yang mempunyai nilai senibina klasik ini dirancang untuk dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks telekomunikasi setinggi 26 tingkat. Bagaimanapun pada tahun 1985, rancangan tersebut dirancang semula apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, amat perihatin terhadap warisan negara. Beliau mencadangkan agar bangunan ini dikekalkan dan dipelihara sebagai salah satu warisan kebanggaan negara.
Daripada ilham Perdana Menteri itu, JTM membuat keputusan untuk memulihkan semula bangunan ini untuk dijadikan sebagai Muzium Telekom. Dari tahun 1989 hingga 1992 kerja-kerja pemulihan dan pengubahsuaian dalaman dijalankan tanpa mengubah bentuk asal bangunan. Pengekalan bentuk asal perlu kerana bangunan ini telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah. Usaha pengumpulan bahan-bahan dan koleksi untuk pameran di galeri Muzium Telekom pula giat dijalankan sepanjang tahun 1993 sehingga pertengahan tahun 1994.
Kebanyakan bahan-bahan pameran dan koleksi diperolehi daripada unit-unit di bawah TM sendiri. Terdapat juga bahan-bahan pameran yang disumbangkan oleh Jabatan Muzium Dan Antikuiti Malaysia, Muzium Negeri Sarawak, Jabatan Arkib Negara, Jabatan Perpustakaan Negara, Filem Negara, Keretapi
Tanah Melayu Berhad, Polis Diraja Malaysia dan orang perseorangan. Setelah kerja-kerja pengubahsuaian galeri dan pengumpulan bahan-bahan pameran selesai, maka pada tanggal 3 Jun 1994, upacara perasmian yang gilang-gemilang diadakan menandakan Muzium Telekom dibuka secara rasmi untuk dilawati oleh rakyat Malaysia dan juga pelancong dari luar negara.